PEJUANITA menggesa kerajaan segera menjadikan industri pra-sekolah sebagai industri yang layak mendapat subsidi bagi mengurangkan kos yuran tadika yang semakin membebankan ibu bapa ketika ini.
Ketua Pejuanita Pejuang, Datin Che Asmah Ibrahim, berkata pihaknya bersimpati dengan keluhan ibu bapa dari golongan M40 khususnya mengenai yuran tadika yang dikatakan terlalu mahal.
“Malahan secara purata tahunan ianya lebih mahal dari yuran pelajar institusi pengajian tinggi awam seperti mana yang dilaporkan oleh akhbar minggu lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, subsidi kerajaan itu penting bagi mengurangkan kos perkhidmatan yang ditanggung pengusaha tadika seperti tarif elektrik dan air, bantuan sewa premis serta potongan cukai perkhidmatan yang lain kepada industri pendidikan pra sekolah.
“Penjimatan dari kos ini perlu dipulangkan kepada ibu bapa melalui pengurangan yuran pada kadar berpatutan yang dikawal kerajaan.
“Pejuanita Malaysia juga mahukan supaya industri pra sekolah ini dikawalselia di bawah satu kementerian khusus seperti Kementerian Pendidikan Malaysia dan bukan beberapa kementerian yang berbeza.
“Ini penting bagi memastikan kualiti pembelajaranya memenuhi piawai termasuk juga bagi menaiktaraf kualiti pembelajaran di tadika-tadika kendalian pihak kerajaan seperti Tadika KEMAS,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesedaran pentingnya perkembangan otak kanak-kanak pada peringkat umur awal menjadikan tadika sebagai pelaburan yang cukup penting buat ibu bapa.
“Namun, dalam fasa pemulihan dari pendamik Covid-19 dan peningkatan kos sara hidup masa kini, kadar yuran sekitar RM300 ke RM500 sebulan (tidak termasuk yuran tahunan) khususnya di sekitar Lembah Kelang telah menjadi satu bebanan kepada ibubapa yang mahukan pendidkan yang terbaik buat masa depan anak-anak mereka,” katanya.
Beliau berkata, Pejuanita juga memahami peningkatan kos mengendalikan tadika yang perlu ditanggung pengusaha tadika yang ramainya terdiri dari kaum wanita akibat daripada peningkatan kos sara hidup. – Malaysiapost

