
UJIAN saringan kendiri Covid-19 untuk murid sekolah rendah akan dijalankan di rumah, bermula minggu ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata sebanyak 10 peratus murid akan dipilih secara rawak setiap minggu untuk melakukan ujian di rumah.
“Pelaksanaannya bermula di sekolah pada 1 Disember 2021. Susulan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai pendekatan yang perlu diambil untuk pelaksanaan ujian ini.
“KKM bersetuju membenarkan ujian ini dijalankan di rumah dan pihak sekolah telah dimaklumkan mengenai keputusan ini. Kit ujian kendiri akan disediakan oleh sekolah dan ia akan bermula minggu ini,” katanya menerusi rakaman video di Facebooknya hari ini.
Menurut Dr Radzi, KPM akan mengeluarkan kenyataan media untuk menjelaskan butiran lanjut.
Beliau berkata, penting bagi ibu bapa kepada kanak-kanak terpilih untuk menjalankan ujian mengikut prosedur yang digariskan bagi memastikan sesi persekolahan berjalan lancar dan selamat.
“Jika tidak mengikut prosedur, bukan sahaja murid yang terpilih akan terjejas, malah rakan dan guru mereka di sekolah juga.
“Oleh itu, penting apabila kita memulakan pendekatan baharu dalam menjalankan ujian kendiri Covid-19 ini, ibu bapa memainkan peranan penting memastikan ia dilakukan dengan teratur dan mengikut prosedur ditetapkan KKM.
“Kita mahu memastikan sesi persekolahan terus berjalan dengan selamat,” katanya. – Malaysiapost
