KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) telah melakar banyak kejayaan yang membanggakan negara sepanjang tahun 2021, walaupun berdepan pelbagai cabaran, kata Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Beliau berkata, tahun 2021 menyaksikan dua pelabuhan negara iaitu Lembaga Pelabuhan Klang dan Lembaga Pelabuhan Tanjung Pelepas berjaya mencapai rekod baharu pengendalian kontena walaupun di peringkat global semua masih bergelut dengan Covid-19.
Dalam masa sama, katanya, MOT tidak pernah sesekali mengabaikan kepentingan rakyat lebih-lebih lagi ketika berdepan waktu sukar.
“Pelbagai inisiatif diperkenalkan untuk membantu Keluarga Malaysia sepanjang tahun lalu antaranya pengecualian daripada keperluan memperbaharui Lesen Memandu (LM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.
“Memperkenal Pas Perjalanan Tanpa Had bagi perkhidmatan pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana dan KTMB; menyalurkan bantuan tunai secara ‘one-off’ kepada pemandu teksi/kereta sewa, e-hailing, bas persiaran, pemandu pelancong dan pemandu bas sekolah.
“Diskaun 80 peratus pembayaran saman bagi kesalahan disenaraikan di dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaunan Kesalahan) 2003 sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dan banyak lagi,” katanya hari ini.
Untuk tahun 2022 ini, Ka Siong berkata, beliau sekali lagi meminta warga MOT agar terus bekerja keras mencipta kejayaan-kejayaan baharu.
“Dalam masa sama, terus membela nasib rakyat khususnya melibatkan industri pengangkutan,” katanya.
Terdahulu MOT hari ini mengadakan Perhimpunan Bulanan di kementerian itu di Putrajaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, setelah sekian lama tidak dapat berbuat demikian akibat penularan Covid-19. – Malaysiapost

