PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar industri sukan tanah air terus dibantu untuk bangkit semula menjadi penyumbang utama ekonomi dan pembangunan sosial negara.
Menurutnya, sukan bukan lagi sekadar aktiviti santai dan riadah, sebaliknya merupakan cabang industri dunia.
“Menurut ahli akademik, nilai global industri sukan dunia dianggarkan AS$756 bilion (RM3.2 trilion) setiap tahun dan Malaysia tidak terkecuali menerima manfaatnya sebelum ini.
“Justeru industri ini wajar dibantu untuk bangkit semula dengan cepat sebagai salah satu medium pemulihan ekonomi negara dan menaja gaya hidup sihat berterusan masyarakatnya,” katanya dalam satu hantaran di Faecebook, hari ini.
Beliau yang juga Presiden Umno berkata, laporan media mengenai isu pemotongan elaun latihan dan pengguguran 144 atlet negara daripada program latihan kebangsaan baru-baru ini agak mengejutkan.
“Berdasarkan laporan media, selepas ini pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA akan menerima RM800 sementara emas RM2,000.
“Nilai RM800 itu jauh lebih rendah berbanding paras gaji minimum yang boleh diperoleh pekerja dalam sektor buruh ketika ini.
“Ini sangat bercanggah dengan kenyataan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 9 Oktober lalu mahu memberi fokus kepada pembangunan industri sukan,” katanya.
Menurutnya, pembangunan industri sukan bukan saja dapat memberi pulangan lumayan kepada atlet, tetapi juga kepada orang ramai yang menceburi bidang itu.
“Perkembangan itu (pemotongan elaun dan pengguguran atlet) langkah ke belakang selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa era pentadbirannya mengangkat sukan sebagai salah satu bidang profesional dalam negara,” katanya. – Malaysiapost

