Rumah Kasih Keluarga Malaysia: KPLB terima 300 permohonan semakan

0
1

PUSAT sehenti Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Bukit Changgang, Banting menerima lebih 300 permohonan semakan kelayakan untuk pembaikan dan bina baharu rumah pasca banjir di bawah program Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.

Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata pusat sehenti yang beroperasi di Tabika Kemas, Bukit Changgang itu dibuka selama tiga hari bermula hari ini telah mempermudahkan urusan mangsa banjir mendaftar kelayakan melalui borang disediakan.

“Borang itu akan diserahkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah untuk diperaku Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“KPLB mengambil inisiatif ini untuk membantu melicin dan mempercepatkan proses pendaftaran dalam menyegerakan bantuan kepada mangsa banjir yang layak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramlan menjelaskan, KPLB memperuntukkan RM50 juta di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia dengan kadar bantuan RM15,000 untuk kerja pembaikan rumah, RM56,000 untuk bina baharu di Semenanjung dan RM68,000 untuk bina baharu di Sabah dan Sarawak.

“KPLB juga telah memulakan kerja-kerja pembaikan Sabtu lalu membabitkan sembilan rumah mangsa banjir di Kuala Klawang, Chennah dan Jelebu, Negeri Sembilan. Empat rumah lagi di Mentakab dan Temerloh, Pahang.

“Setakat ini KPLB menerima 1,879 unit rumah untuk baik pulih di kawasan banjir seluruh negara. Manakala 165 adalah untuk bina baharu rumah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here