MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan akan terus memberi kepercayaan penuh kepada Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Kesihatan (KPK), di sebalik desakan supaya beliau digantikan.
“@DGHisham mendapat sokongan penuh daripada saya untuk menjalankan tugas sebagai KPK Malaysia,” kata Khairy menerusi ciapan Twitter hari ini.
Respon tersebut diberikan kepada laporan yang mempersoalkan sepatutnya Dr Noor Hisham digantikan dengan orang lebih layak ketika beliau dilihat tidak berupaya dalam mengendalikan pandemik Covid-19 di negara ini.
Menurut Ahli Parlimen Bintulu daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Tiong King Sing, walaupun Dr Noor Hisham salah seorang pembuat keputusan dan terbaik dalam mengekang penularan varian Omicron, namun Noor Hisham bukan daripada latar belakang kesihatan awam.
“Hakikatnya, beliau (Noor Hisham) adalah pakar bedah, bukan dari bidang kepakaran kesihatan awam. Mereka jelas tidak layak, tetapi masih enggan mendapatkan nasihat daripada China, yang berpengalaman dalam memerangi wabak ini.
“Semua orang lihat kadar kematian di China rendah, tetapi berapa ramai orang Malaysia telah terkorban akibat penyakit ini? Mengapa Malaysia tidak menggunakan lebih banyak strategi anti wabak dari China dan Noor Hisham pula belum diganti?,” kata King Sing dalam hantaran Facebook.
Mengulas berkenaan itu, Khairy berkata, beliau tidak menafikan pendekatan yang digunakan China berkesan, namun strategi itu tidak sesuai untuk diguna pakai di Malaysia.
“Namun, strategi mereka iaitu ‘containment’ atau ‘zero Covid’ bermaksud total lockdown bila ada hanya tiga kes positif. Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk lockdown. Strategi kita ‘mitigation’ (mengurangkan),” katanya.
Katanya, Malaysia menguruskan kes positif Covid-19 dengan berkesan seperti meningkatkan kadar vaksinasi dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Belia berkata, dengan langkah itu kadar kematian dapat dikurangkan serta penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kemasukan ke hospital menurun. – Malaysiapost

