MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan seluruh kepimpinan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) disemak dan dirombak semula demi keadilan dan ketelusan pentadbiran negara.
Beliau berkata, melihat kepada surat sokongan anggota SPRM, bagaimana mereka boleh membuat keputusan awal bahawa Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki menjadi mangsa politik, sedangkan siasatan belum dibuat.
Jelas beliau, SPRM sepatutnya bertegas agar satu siasatan adil dan telus dijalankan demi menjaga maruah SPRM.
“SPRM sepatutnya bersuara tegas demi menjaga maruahnya, menuntut satu siasatan adil dan telus dijalankan.
“Itu sahaja, tanpa memberikan pembelaan awal dalam hal yang majoriti mempertikaikannya.
“Malang sekali jika badan tertinggi yang diamanahkan oleh negara untuk menghapuskan rasuah bersuara dengan tidak profesional dan janggal dalam isu rasuah yang menjadi tugasan utama dan pertama mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Asri, kenyataan Azam bahawa akaunnya digunakan oleh adiknya jelas sangat ganjil dan pelik.
“SPRM sepatutnya pihak yang paling sensitif. Mereka yang sepatutnya tegas membuat kenyataan hal ini wajib disiasat sehabis-habisnya.
“Oleh itu, menjadi kewajipan semua yang berakal dalam negara ini bangkit menentang rasuah dalam negara ini,” katanya.
Mohd Asri berkata, agamawan juga wajar bangkit menentang hal ini melebihi isu dosa peribadi individu yang berlaku antara seseorang dengan Tuhannya.
“Menentang rasuah adalah kewajipan agama yang besar dan agamawan wajar bangkit menentang hal ini melebihi kesibukan mereka membincangkan isu dosa peribadi individu yang berlaku antara seseorang dengan Tuhannya.
“Dosa rasuah membabitkan dosa seseorang dengan Allah dan manusia dan contohnya minum arak memang haram dan salah. Namun, dalam banyak keadaan ia antara individu dengan Tuhannya,” katanya.
Beliau juga mengingatkan sekiranya negara gagal menangani isu berkenaan, ia memberi erti tahap rasuah negara ini berada dalam keadaan tenat. – Malaysiapost

