Kenyataan 6 ahli LPPR ibarat ‘undi tidak percaya’ buat Abu Zahar

0
1

KENYATAAN enam ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang menyangkal penjelasan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang diibaratkan sebagai satu bentuk ‘undi tidak percaya’ terhadapnya.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata kenyataan oleh enam individu itu adalah satu tamparan hebat buat kredibiliti Abu Zahar.

“Kenyataan media dari enam Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) ini, yang menjauhkan diri mereka dari kenyataan Tan Sri Abu Zahar yang ‘membersihkan’ nama Tan Sri Azam Baki, sangat mengejutkan.

“Ia menimbulkan persoalan sama ada Tan Sri Abu Zahar telah membuat keputusan ‘membersihkan’ nama Ketua Pesuruhjaya SPRM itu secara bersendirian?

“Abu Zahar kini tiada pilihan kecuali untuk memberi penjelasan penuh secara terbuka berkenaan perkara ini – atau meletakkan jawatan serta merta. Amat jelas beliau tiada lagi hak moral untuk menjadi pengerusi LPPR,” katanya dalam hantaran Facebook.

Terdahulu, LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung skandal pembelian saham yang dikaitkan dengannya.

Menurut Abu Zahar, setelah perbincangan bersama Ahli LPPR, mereka berpendapat Azam tiada sebarang kepentingan pecuniary (kewangan) atau benefisial ke atas saham berkenaan.

Bagaimanapun, enam ahli LPPR hari ini menyangkal penjelasan Abu Zahar berhubung dakwaan pemilikan saham Azam di beberapa syarikat.

Malah, mereka menegaskan kenyataan Abu Zahar itu adalah pendapat peribadinya sebagai pengerusi lembaga itu.

Dalam satu kenyataan, enam ahli itu menjelaskan, ahli-ahli lembaga yang lain tidak pernah menyuarakan pendirian yang sama seperti Abu Zahar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here