DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa Majlis Sukan Negara (MSN) termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menilai kembali keputusan penstrukturan semula skim bayaran elaun bagi atlet, yang disifatkan tidak adil.
Ketuanya Shahir Adnan, berkata alasan peruntukan kewangan terhad daripada kerajaan yang diberi MSN itu perlu penjelasan lanjut dan dikemukakan bersama bukti yang lebih kukuh.
Katanya, ia kerana berdasarkan laporan Belanjawan 2022, perbelanjaan mengurus KBS (Operating Expenditure OPEX) meningkat daripada RM 614 juta pada tahun 2021 kepada RM 622 Juta pada tahun ini.
“Perbelanjaan pembangunan KBS (Capital Expenditure CAPEX) turut meningkat daripada RM 326 Juta (2021) kepada RM 330 Juta (2022).
“Secara khususnya, belanjawan MSN turut meningkat daripada RM 14 Juta (2021) kepada RM18.36 Juta (2022). Kenapa peningkatan belanjawan MSN memberikan impak berkurangan kepada elaun atlet negara?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MSN perlu adil dalam menjaga kebajikan atlet-atlet negara, terutamanya atlet pelapis dan atlet paralimpik yang bertungkus-lumus dalam mengharumkan nama negara.
Katanya, kebanyakan mereka tiada pekerjaan tetap di luar kerana memberikan sepenuh tumpuan dan masa untuk menjadi atlet negara dalam misi membawa kejayaan dan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
“Oleh itu, pengurangan elaun daripada RM2,000 kepada RM800 kepada sebilangan besar atlet adalah satu keputusan kebelakang,” katanya.
Beliau berkata, keputusan terbaru ini bukan sahaja memberikan impak besar kepada atlet masa kini yang berdepan pelbagai cabaran dek pandemik Covid-19, malah memberikan isyarat buruk kepada anak muda yang mempunyai impian untuk menjadi atlet negara di persada antarabangsa.
“Keputusan ini turut menyebabkan ibu bapa kepada bakal atlet dan atlet muda hari ini untuk berfikir mengenai masa depan anak mereka yang tidak menentu kiranya memilih jalan menjadi atlet negara.
“Seharusnya elaun yang diberikan mencukupi agar atlet negara dapat memberikan fokus 100% dalam latihan mereka tanpa perlu bekerja sambilan di luar untuk menampung perbelanjaan mereka,” katanya.
Shahir berkata, misi MSN untuk menambah bilangan atlet di peringkat pelapis dan senior, termasuklah meningkatkan prestasi atlet di peringkat tertinggi dan menggiatkan penganjuran kejohanan sukan di pelbagai peringkat.
“Namun ia bakal kabur sekiranya tiada tiada tindakan segera dilakukan dalam menilai kebajikan atlet sekarang.
“Misi KBS pula bagi memacu kemajuan belia dan sukan secara holistik untuk memenuhi aspirasi negara, bakal hilang sinarnya.
“Justeru DPIM sekali lagi menggesa MSN dan KBS untuk menilai semula keputusan ini demi masa depan atlet negara,” katanya. – Malaysiapost

