
BEKAS peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas mengesahkan tidak akan bekerjasama atau mengambil bahagian dalam pasukan petugas ditubuhkan untuk menyiasat bukunya “My Story: Justice in the Wilderness” kerana mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan.
Dalam surat kepada Pengerusi Pasukan Petugas, Datuk Seri Fong Joo Chung, Tommy berkata mengambil bahagian dalam siasatan oleh pasukan petugas itu akan menjadi contoh yang berbahaya.
“Pasukan khas ini menetapkan satu preseden yang berbahaya dengan meletakkan risiko kepada kebebasan Jabatan Peguam Negara.
“Saya perlu melindungi penyandang dan bakal peguam-peguam negara dan semua pegawai Jabatan Peguam Negara yang mesti boleh mengambil keputusan menuduh demi kepentingan terbaik rakyat yang mereka berkhidmat kepada, tanpa ketakutan atau pilih kasih.
“Penyertaan saya dalam pasukan khas akan mengesahkan tujuannya yang tidak berpelembagaan dan akan menetapkan preseden berbahaya yang akan memudaratkan kesemua mereka. Ini bercanggahan dengan kepentingan awam.
“Bagi sebab-sebab berikut saya tidak berniat bekerjasama atau mengambil bahagian dalam pertimbangan-pertimbangan anda,” katanya menerusi surat tersebut.
Pada 8 Disember lalu, kerajaan bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan dalam buku Tommy.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penubuhan pasukan itu dipersetujui pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Oktober lalu.
Ia bagi membuat kajian awal berhubung dakwaan-dakwaan yang ditulis dalam buku berkenaan termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman, pendakwaan terpilih dan sebagainya.
Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan-dakwaan tersebut. -Malaysiapost
