KJ nafi antivaksin, tegaskan maklumat tular palsu 

0
1

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan tangkap layar butiran peribadi dan status vaksinasi Covid-19 beliau yang disemak melalui laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/semak-status/ yang tular sejak semalam adalah palsu. 

Ia sekali gus menafikan kononnya beliau tidak pernah mengambil suntikan vaksin serta aktivaksin seperti didakwa. 

Menerusi kenyataan hari ini, Khairy menjelaskan dalam tangkap layar itu, status janji temu beliau dinyatakan sebagai ‘SEDANG DIPROSES’ sementara butiran lain seperti lokasi pusat vaksin, tarikh dan masa janji temu tidak dinyatakan. 

“Untuk makluman, laman sesawang tersebut diwujudkan pada peringkat awal pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi memudahkan urusan semakan kepada orang awam.  

“Bagaimanapun, selepas kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 90 peratus pada Oktober 2021, laman sesawang tersebut tidak lagi aktif atau dikemas kini. 

“Untuk rekod, saya telahpun mendapat suntikan dos pertama vaksin CoronaVac pada 18 Mac 2021 dan merupakan individu pertama di Malaysia yang menerima vaksin keluaran Sinovac tersebut,” katanya. 

Malah menurut Khairy, pengambilan dos pertama tersebut turut disiarkan secara langsung di televisyen dan beliau juga telah menunjukkan paparan MySejahtera selepas menerima vaksin tersebut.  

“Sesiapa belum menonton siaran langsung tersebut, boleh tonton di pautan ini: https://youtu.be/EtyaZ-BaPb8. 

“Suntikan dos kedua saya terima pada 8 April 2021. Saya juga sudah menerima suntikan dos penggalak vaksin Comirnaty keluaran Pfizer pada September lalu sebelum berlepas ke Himeji, Jepun bagi Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WPRCM) Ke-72,” katanya lagi. 

Sehubungan itu beliau menafikan sekali lagi maklumat yang dipaparkan dalam tangkap layar yang tular tersebut.  

“Saya minta orang ramai untuk tidak terpengaruh dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menidakkan usaha vaksinasi negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here