DATUK Seri Najib Razak membidas pendirian bekas Penguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung keengganan beliau memberi kerjasama kepada pasukan petugas khas berhubung pendedahan yang dibuat menerusi bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’.
Bekas Perdana Menteri itu, berkata perkara itu dinyatakan Tommy dengan menulis kepada pengerusi pasukan petugas khas mengenai keputusannya tidak akan memberi kerja sama bagi siasatan terhadap pendedahan salah laku berkenaan.
“Tommy telah tulis kepada pengerusi pasukan petugas khas bahawa dia tidak akan memberi kerja sama bagi siasatan terhadap salah laku dia dan Atok (Tun Dr Mahathir Mohamad).
“…. (berkaitan) campur tangan dalam isu lantikan dan pengubahan hakim-hakim serta dakwaan terpilih berdasarkan kepentingan politik semasa dia Peguam Negara,” katanya menerusi Facebook.
Najib berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana pendedahan isu berkenaan yang dibongkar sendiri Tommy menerusi buku tulisannya.
“Tapi ianya juga Tommy sendiri yang bongkarkan isu-isu ini dalam bukunya. Sendiri bocor, sendiri meroyan pulak apabila kerajaan mahu siasat,” katanya.
Oktober lalu, kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan Tommy di dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’.
Pada 8 Disember lalu, kerajaan melantik Penasihat Undang-Undang negeri Sarawak dan bekas Peguam Besar Sarawak, Datuk Sri Fong Joo Chung sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas Siasatan atas dakwaan dalam buku penulisan Tommy. – Malaysiapost

