JUMLAH mangsa banjir di Pahang semakin berkurang apabila 1,369 mangsa daripada 410 keluarga masih ditempatkan di 32 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi tadi.
Ia menurun berbanding semalam iaitu 1,846 mangsa daripada 562 keluarga di 32 PPS.
Laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang memaklumkan kebanyakan mangsa banjir membabitkan kawasan di Temerloh, Maran, Pekan, Rompin, Bera dan Raub.
Sementara itu, tiga sungai di Pahang masih merekodkan bacaan melepasi paras bahaya, masing-masing dua di Bera dan Pekan.
Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai tersebut ialah Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera yang merekodkan 31.30 meter (m), berbanding paras bahaya 30.50m.
Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera merekodkan 26.73m, berbanding 26m dan Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan mencatat bacaan 16.52m, berbanding 14.90m.
Dua sungai pula merekodkan bacaan paras amaran, masing-masing Sungai Triang di Triang, Bera dan Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran, manakala Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub, Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong dan Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan melepasi paras waspada. – Malaysiapost

