POLIS dan pihak berwajib lain seperti Jawatankuasa Khas Parlimen perlu melakukan siasatan menyeluruh dan telus terhadap kes melibatkan Tan Sri Azam Baki dan kes-kes lain berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya berkata pada masa sama Azam mesti berani dan ‘gentleman’ untuk tampil ke hadapan dan disiasat secara telus jika beliau berada di pihak yang benar.
Menurutnya, Azam juga perlu meletak jawatan atau setidak-tidaknya bercuti sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sepanjang siasatan dijalankan terhadapnya.
“Azam tidak perlu bimbang terhadap siasatan oleh pihak berkuasa jika beliau berada di pihak yang benar.
“PEMBELA tidak akan berkompromi dengan segala masalah integriti terutamanya yang melibatkan badan penguatkuasa seperti SPRM,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Aminuddin berkata pihaknya melihat kes melibatkan Azam sebagai sangat serius yang membuatkan kepercayaan rakyat semakin hilang terhadap SPRM.
“Defisit kepercayaan terhadap SPRM bukannya baru berlaku, tetapi hasil dari pelbagai siri-siri skandal dalaman SPRM.
“PEMBELA tidak pernah lupa bagaimana SPRM memandang sepi laporan-laporan yang PEMBELA lakukan dalam kes pencerobohan tanah khususnya di Pahang (durian Musang King Raub antaranya) walaupun pelbagai bukti yang terbongkar seperti sudah terang lagi bersuluh,” katanya. – Malaysiapost

