KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mempertimbangkan cadangan melanjutkan pengecualian sewaan kantin sekolah untuk tahun ini.
Sehubungan itu, pengarah-pengarah pendidikan negeri diminta memaklumkan kepada semua pentadbir sekolah menangguhkan kutipan sewaan kantin bagi Januari dan Februari sehingga maklumat terbaharu dimaklumkan kelak.
Arahan penangguhan itu dikeluarkan KPM menerusi surat oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM, Noor Azman Abdul Rahman bertarikh semalam yang dilihat Malaysiapost.
Sebelum ini KPM memberi pengecualian sewaan kantin dan premis/ruang tersebut bagi tempoh enam bulan mulai Julai sehingga Disember 2021.
Menurut KPM, penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis/ruang (kedai buku/koperasi/kedai dobi/vending machine) di sekolah bawah KPM secara automatik turut diberikan untuk tempoh setahun apabila tamat tempoh kontrak asal.
KPM yakin inisiatif itu akan membantu meringankan beban kewangan penyelia perkhidmatan di institut di bawah KPM serta pekerja terlibat akibat pandemik Covid-19. – Malaysiapost

