“JANGAN sebut perkataan ‘L’ (Lockdown)..kita tidak akan menyebut perkataan itu lagi,” tegas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata demikian ketika memberi reaksi kepada soalan wartawan mengenai sama ada kerajaan akan kembali melaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan peningkatan kes Covid-19 varian Omicron di Malaysia.
Menjawab persoalan itu, Khairy menegaskan kerajaan mengambil tindakan dengan langkah-langkah yang berkesan dan tidak keterlaluan.
“Seperti yang saya sering katakan sebelum ini..langkah yang diambil mestilah diselaraskan dan tidak keterlaluan. Jika kita tutup sempadan negara ia bukanlah langkah yang sesuai.
“Sekarang ini kita buka sempadan negara sebab ia diperlukan oleh penduduk kita yang belajar di luar negara, berniaga di luar negara dan juga mereka yang nak datang berniaga di sini,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan kini mengambil langkah ke hadapan secara bersasar, selaras dan tidak keterlaluan dalam menangani pandemik Covid-19.
“Kita melihat sampai bila kita nak tutup sempadan dan kita sudah membukanya..seboleh mungkin kita bergerak ke hadapan kita tidak toleh ke belakang.
“Sebab itu saya kata jangan sebut perkataan ‘L’ kerana lockdown itu kita toleh ke belakang..undur semula..memang kita ingin elak tindakan itu
“Memang jika lockdown kes akan sifar dan akan menang, tetapi kesannya kepada ekonomi, kesihatan mental dan kehidupan semua terkesan,” katanya.
Terdahulu beliau memaklumkan, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dikesan varian Omicron di Malaysia adalah sebanyak 245 kes setakat ini.
“Daripada jumlah itu, 233 kes adalah jangkitan import dari luar negara, manakala 12 kes adalah penularan tempatan.
“Daripada keseluruhan kes varian Omicron yang dilaporkan, sebanyak 157 kes (64.08 peratus) adalah membabitkan jemaah umrah,” katanya. – Malaysiapost

