Kes Covid-19 dikhuatiri melebihi 30,000 kes sehari jika Omicron tidak dibendung

0
1

JANGKITAN Covid-19 dikhuatiri bakal melebihi 30,000 kes sehari jika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mengambil langkah pembendungan penularan varian Omicron.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata susulan itu antara langkah yang diambil adalah penangguhan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan umrah bagi membendung penularan varian berkenaan.

Beliau berkata, kadar jangkitan Covid-19 berupaya meningkat sehingga ke paras 15,000 kes dalam tempoh 24 jam, untuk tempoh Januari dan Februari ini.

“Ini hasil unjuran KKM menerusi model Berisiko-Terdedah-Berjangkit-Diasingkan (SEIR) yang menggunakan kadar kebolehjangkitan (Rt) sebagai sandaran, iaitu masing-masing pada 0.95, 1.2 dan 1.6.

“Mengikut model SEIR, sekiranya Rt berada para paras 1.2, kes akan meningkat kepada 10,000 sehari, jika Rt 1.6 kes melambung mencecah lebih 30,000 kes sehari,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, setakat ini jangkitan Omicron didapati tidak seteruk varian Delta, namun apabila kes meningkat sehingga 30,000 kes sehari, maka kemasukan ke hospital akan meningkat dan boleh melumpuhkan sistem kesihatan awam negara.

“Sistem kesihatan kita baru saja nak pulih, berdasarkan kepada data setakat 30 September 2021, ada 57,355 kes tertunggak di hospital KKM, dengan 53,785 adalah kes pembedahan manakala 3,570 lagi kes rawatan perubatan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya penularan Omicron terlalu cepat dan gelombangnya terlalu besar, dikhuatiri bukan hanya hospital akan lumpuh dan kes lain tertangguh, tetapi petugas barisan hadapan juga akan dijangkiti.

Sementara itu, Khairy memaklumkan program dos penggalak vaksin Covid-19 juga akan dipertingkatkan lagi dan semua janji temu akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera.

“Bagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksinasi dos penggalak di Lembah Klang, empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi dengan kapasiti lebih besar telah dikenalpasti dan akan mula beroperasi pada 15 Januari ini.

“PPV tersebut adalah PPV World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur; PPV Axiata Arena Stadium Nasional Bukit Jalil; PPV Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam; dan PPV Sokka Gakai di Klang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here