DEWAN Rakyat akan mengadakan satu Mesyuarat Khas pada 20 Januari ini, bagi mendalami kesusahan rakyat yang terkesan ekoran bencana banjir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 itu diadakan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Iaitu bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir dan pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan Mesyuarat Khas ini telah disembah maklum dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau berkata, Mesyuarat Khas ini penting untuk memberi ruang kepada kerajaan menjelaskan kepada rakyat mengenai tindakan dan perancangan kerajaan menangani isu-isu banjir.
“Sesi ini juga adalah platform terbaik untuk Ahli-ahli Parlimen mendapat maklum balas tentang isu banjir,” katanya. – Malaysiapost

