Dakwaan khurafat: Raja Bomoh mahu saman RM300 juta 

0
1

RAJA Bomoh atau nama sebenar Ibrahim Mat Zin mahu menyaman sebanyak RM300 juta ke atas jabatan yang mendakwa dirinya melakukan perbuatan syirik dan khurafat di Teluk Intan, Perak baru-baru ini.

Beliau mendakwa, tindakan yang dilakukannya di Teluk Intan itu semata-mata kerana Allah SWT, dengan niat untuk mengelakkan banjir di daerah tersebut dengan menggunakan cara tradisional iaitu petua orang zaman dahulu.

“Tujuan saya buat itu supaya banjir jangan naik besar di Teluk Intan. Saya buat supaya banjir jangan melanda Sungai Manik, Labu Kubong, Kampung Gajah, Parit dan Bagan Datuk. Berdoa dan mengunakan daun serta kayu dilepaskan (ke sungai).

“Tujuan saya untuk selamatkan tapak perkuburan. Jangan hilang makam diraja. Orang tua saya dan keturunan saya banyak dikebumikan di Teluk intan. Bukan tujuan saya untuk berbangga atau publisiti.

“Saya telah berbincang dengan peguam dan akan saman RM300 juta jabatan yang kata saya syirik dan khurafat,” katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan menerusi Facebook miliknya.

Tambahnya, Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi, maka sepatutnya jabatan terbabit memanggilnya terlebih dahulu untuk berbincang dan menegur jika perbuatannya itu salah.

“Namun sebaliknya, jabatan berkenaan tiba-tiba menjatuhkan hukum syirik dan khurafat sedangkan perlu ada budi bicara dalam soal itu kerana jika ada perkara yang salah boleh diperbetulkan,” katanya.

Dalam pada itu, memetik laporan Kosmo Online, pihak polis turut mengesahkan menerima laporan daripada Ibrahim berhubung dakwaan mengadakan upacara yang bertentangan ajaran Islam di Dataran JPS Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, laporan polis berhubung kes itu diterima pihaknya pada pukul 12.30 tengah malam tadi.

Semalam, media melaporkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan membuka kertas siasatan terhadap Ibrahim yang dikenali sebagai Raja Bomoh berkaitan upacara yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Menerusi video tular di media sosial berdurasi 25 minit memaparkan Ibrahim melakukan upacara dipercayai menolak musibah banjir bersama seorang wanita dikenali ‘Puteri Zaleha’.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, perbuatan dua individu tersebut disiasat mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 kerana mencela dan menghina agama Islam.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here