14 peratus jemaah umrah dijangkiti Omicron tidak divaksinasi

0
1
https://www.facebook.com/photo/?fbid=237627165065961&set=pb.100064560379224.-2207520000..

SEBANYAK 14 peratus daripada 122 jemaah umrah yang pulang daripada Arab Saudi dan disahkan positif Covid-19 varian Omicron didapati tidak divaksinasi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata keadaan itu menunjukkan berlaku ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk jemaah menunaikan umrah.

“Berdasarkan kepada siasatan awal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap jemaah umrah didapati bahawa daripada 122 kes positif Covid-19 varian Omicron yang pulang daripada Arab Saudi 14 peratus tiada vaksin.

“Jadi di sini ada ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) kerana hanya mereka yang sudah divaksinasi sahaja sepatutnya dibenarkan pergi umrah,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan kementerian terbabit supaya agen-agen pelancongan yang menjalankan pakej umrah dapat patuh dengan syarat yang ditetapkan.

Menurutnya, siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenalpasti sama ada jemaah yang tidak divaksinasi itu atas sebab kesihatan atau sebaliknya.

“Kita sedang siasat sama ada jemaah yang dijangkiti varian Omicron ini tidak divaksinasi atas sebab kesihatan atau memang tiada vaksinasi dan enggan divaksinasi.

“Jika sebab kesihatan maka tiada masalah,” katanya.

Berdasarkan data yang dikongsikan daripada 122 dijangkiti Omicron itu 26 menerima vaksin AstraZeneca, Moderna (1), Pfizer (57), Sinovac (6), penerima dos penggalak Pfizer (6) dan Sinovac (8), manakala 17 tidak divaksinasi.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan memutuskan penangguhan sementara kebebaran perjalanan mengerjakan umrah untuk tempoh sebulan berkuatkuasa 8 Januari ini.

Menurutnya, KKM bersama kementerian dan agensi-agensi berkaitan juga akan mengemaskini SOP umrah antaranya termasuk dos penggalak sebagai syarat mengerjakan umrah; pengurusan kes dan kontak rapat di Arab Saudi serta memperkukuhkan tanggungjawab kepada agensi pelancongan.

“Saya telah bincang dengan Menteri Pelancongan dan juga Menteri Pengangkutan kerana ramai yang terkesan susulan penangguhan umrah ini.

“Kementerian Pelancongan, Kesenian dab Kebudayaan Malaysia (MOTAC) akan bincang dengan agen-agen pelancongan untuk cari kaedah bagaimana dapat menjadualkan semula umrah.

“Kementerian Pengangkutan (MOT) pula akan bincang penjadualan semula penerbangan yang tertangguh disebabkan keputusan penangguhan ini,” katanya.

Menurutnya, kerajaan akan lihat dengan serius supaya mereka yang terkesan daripada keputusan penangguhan umrah ini termasuk penjadualan semula penerbangan atau pembayaran balik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here