Azam Baki diminta beri penjelasan kepada SC

0
1

SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC) mahu mendapatkan penjelasan daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung pemilikan sahamnya dalam beberapa syarikat.

SC dalam kenyataan berkata, di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik sekuriti yang didepositkan atau atas nama penama yang diberi kuasa.

“Di samping itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urusan dalam sekuriti hendaklah dilaksanakan hanya oleh pemilik sekuriti atau penama yang diberi kuasa.

“SC akan berhubung dengan pihak terbabit, termasuk Tan Sri Azam Baki, untuk mendapatkan penjelasan dan mengesahkan kenyataan yang dibuat, serta mengumpul sebarang bukti yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM, mendapati mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujan,g berkata LPPR dalam mesyuarat khas pada 24 November lalu mendapatkan penjelasan Azam yang menjelaskan bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki, untuk membeli saham-saham pada 2015.

Dalam sidang media sama, Azam tampil menegaskan beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak memiliki apa-apa kepentingan serta pemilikan saham dalam mana-mana syarikat.

Sebaliknya, beliau menjelaskan kepada Panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membuat urus niaga dan beliau tiada kepentingan ke atas saham-saham yang dibeli itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here