DEWAN Pemuda PAS memandang serius isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata menjadi kewajipan kepada kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengambil langkah segera dan mengadakan siasatan secara bebas dan terbuka.
Pemuda PAS juga katanya, menyarankan semua yang terlibat, termasuk pegawai tertinggi SPRM yang terbabit dalam isu tersebut direhatkan sehingga siasatan selesai dan nama mereka dibersihkan.
“Ini bagi memastikan ketelusan dalam siasatan, serta membuktikan keseriusan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Pemuda PAS percaya perkara ini harus diambil serius oleh kerajaan bagi menangkis persepsi buruk kepada kerajaan dan negara, serta memastikan integriti terus terpelihara.
“Semoga Malaysia sentiasa dipelihara Allah SWT dan kedaulatan undang-undang terus ditegakkan dengan amanah dan berintegriti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu menerusi hantaran di Facebooknya, Ahmad Fadhli berkata beliau menghormati Azam dan beberapa kali bersua dalam prosiding PAC.
Beliau seterusnya menyimpulkan Azam seorang yangbmahir dengan selok belok urustadbir sesuai dengan kedudukannya.
“Bagaimanapun dalam isu terkini ini, saya berpandangan adalah baik untuk beliau bercuti rehat memberi laluan kepada siasatan untuk membersihkan nama beliau.
“Insya-Allah saya berharap agar beliau dapat kembali bertugas dengan nama yang bersih dari segala tohmahan,” katanya. – Malaysiapost

