JEMAAH yang pulang dari mengerjakan umrah dan dikenakan kuarantin wajib di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi akan diberikan ‘tausiah’ atau motivasi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bermula malam ini.
Menteria di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, berkata setakat ini seramai 141 orang yang pulang dari umrah ditempatkan di ILIM.
“Saya ingin memaklumkan, Alhamdulillah pada hari ini kita telah membuat keputusan bahawa pihak JAKIM akan menyediakan untuk tenaga bagi memberikan ‘tausiah’ atau motivasi peringatan kepada mereka yang ditempatkan di ILIM bagi mereka yang pulang daripada umrah.
“Insya-Allah bermula pada malam ini iaitu daripada jam 7.30 malam hingga 8 malam akan diadakan kuliah Maghrib dan paginya pula ialah jam 7 pagi hingga 7.30 pagi untuk diadakan program tausiah ataupun untuk peringatan dan juga memberikan semangat kepada rakan-rakan yang balik dari umrah dan dikenakan kuarantin,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.
Menurutnya, ia adalah sebahagian daripada pengisian untuk memberikan semangat kepada jemaah yang pulang dan dikuarantin itu.
“Kita faham apa yang dihadapi mereka dan juga perasaan mereka.
“Maka Insya-Allah dengan sedikit bimbingan rohani daripada pihak JAKIM, sekurang-kurangnya ia akan dapat memberikan kegembiraan kepada mereka dan menghiburkan mereka melalui program yang kita buat ini,” katanya.
Beliau berkata, individu yang memberikan peringatan atau tazkirah akan ditempatkan di tempat lain dan jemaah yang dikuarantin dapat mendengarnya di dalam bilik masing-masing kerana dalam setiap bilik di ILIM ada pembesar suara.
“Terima kasih kepada JAKIM dan juga ILIM serta diharapkan mereka yang ditempatkan di situ selesa dan dapat melakukan ibadah dengan baik hasil semangat pulang dari Tanah Suci Makkah,” katanya. – Malaysiapost

