18 pengusaha bas sekolah terjejas akibat banjir di Shah Alam

0
2

Nilam Oshman

SERAMAI 18 pengusaha bas sekolah di Shah Alam terjejas akibat banjir di daearah itu khususnya di Taman Sri Muda bulan lalu.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat, berkata ada antara pengusaha bas sekolah yang rumahnya tenggelam sama sekali dalam banjir besar tersebut.

“Ada pula rumah tak kena banjir tetapi bas sekolah individu terbabit sedang dibaiki di bengkel. Kami difahamkan dua bas tenggelam sehingga mengalami kerosakan ketika banjir.

“Namun kini kebanyakan kawasan di Shah Alam semakin baik dan sekolah ada yang dibuka Isnin depan, cuma hanya sesetengah tempat yang masih dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), dinaiki air dan tiada elektrik.

“Maksudnya kes-kes terpencil seperti ini mungkin akan menyebabkan persekolahan ditangguhkan sehingga keadaan semakin pulih,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Beliau juga memaklumkan pihaknya telah menghulurkan sedikit bantuan kepada pengusaha bas sekolah yang terjejas akibat banjir.

Sementara itu, Amali berkata pengusaha bas sekolah sudah bersiap sedia untuk sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 yang akan bermula pada 9 dan 10 Januari ini.

Menurutnya dari segi persiapan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan tetap menjadi keutamaan.

Bagaimanapun katanya tahun ini pihaknya berasa sedikit lega dan gembira apabila permintaan bas sekolah semakin banyak dan ia menjadi perhatian semula kepada ibu bapa bagi menghantar anak-anak mereka.

“Kita dah siap sedia… tak ada apa-apa ‘extra’ persiapan, kita ikut SOP sebelum ini yang telah ditetapkan.

“Namun banyak pertanyaan dari ibu bapa mengenai perkhidmatan bas sekolah bagi tahun ini untuk anak mereka khususnya Tahun Satu,” katanya – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here