VIDEO pengumuman pesanan awam (PSA) bertajuk ‘MC boleh menjadi rasuah’ yang dimuat naik di media sosial Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selasa lalu bukan bertujuan menjatuhkan professionalisme pengamal perubatan.
SPRM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan video yang diterbitkan itu bertujuan untuk mendidik masyarakat mengenai rasuah.
“Merujuk kepada video PSA yang dimuat naik bertajuk ‘MC boleh menjadi rasuah’ pada 4 Januari 2022, SPRM mengambil maklum mengenai maklum balas yang diterima termasuk daripada pihak Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
“Sebagai makluman, video yang diterbitkan bertujuan untuk mendidik masyarakat serta memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perbuatan menawar, memberi dan menerima rasuah,” menurut kenyataan itu.
Menurut SPRM, dlam konteks video berkenaan, ia merujuk kepada isu pemberian sijil cuti sakit palsu (MC) dan contoh ini berdasarkan situasi benar yang pernah disiasat oleh SPRM, menerusi aduan yang diterima daripada pihak majikan dan orang awam kepada SPRM.
“Suruhanjaya ini tidak berniat untuk menjatuhkan atau mempersoalkan profesionalisme pakar atau pengamal perubatan dalam isu berkenaan.
“SPRM amat menghargai segala usaha, pengorbanan serta sumbangan daripada setiap pengamal perubatan di negara ini, khususnya ketika negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19,” katanya.
Suruhanjaya berkenaan memaklumkan sehubungan dengan isu itu dan bersandarkan kepada nilai kebertanggungjawaban serta kesepaduan, SPRM mengambil keputusan untuk menurunkan video tersebut demi menjaga sensitiviti dan keharmonian semua pihak.
Terdahulu, netizen mengecam kandungan video berdurasi 30 saat itu yang dilihat sebagai isu remeh berbanding kes rasuah yang lebih besar membabitkan pegawai kerajaan dan syarikat-syarikat besar. – Malaysiapost

