Segera tubuh jawatankuasa bebas siasat SPRM

0
2

PARTI Bumiputra Perkasa Malaysia (PUTRA) menyeru kerajaan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menyiasat dakwaan saham bernilai lebih RM2 juta milik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Presiden PUTRA, Datuk Ibrahim Ali, berkata jawatankuasa bebas perlu ditubuhkan bagi menyiasat secara terbuka salah laku yang melibatkan kakitangan SPRM.

Menurutnya, Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM, Tan Sri Abu Zahar Ujang patut segera menubuhkan jawatankuasa bebas bagi memulihkan kredibiliti SPRM yang kian terhakis ketika ini.

“Nasihat mudah kepada TS Abu Zahar Ujang selaku Pengurusi Lembaga Penasihat SPRM iaitu buat cadangan nasihat secara terbuka kepada Kerajaan untuk menumbuhkan Jawatankuasa bebas yang terdiri dari wakil MP Pro kerajaan dan MP pembangkang, wakil NGO yang bermaruah, wakil majlis peguam,wakil AG, wakil Jabatan Jenayah Perdagangan Bukit Aman dan lain-lain individu yang berintegriti.

“Saya juga sedia turut serta dalam Jawatankuasa bebas menyiasat Ketua Pesuruhjaya SPRM tanpa bayaran apa-apa elaun. Saya berkhidmat secara sukarela,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa bebas berkenaan juga diberi hak untuk menyelongkar segala maklumat dengan semua pihak dan diberi masa tiga bulan untuk menyediakan laporan siasatan.

“Laporan ini dibentang di Parlimen. Jika tiada apa salah laku, maka nama baik KP SPRM dapat dibersih tanpa apa-apa lagi persepsi buruk,” katanya.

Sehubungan itu, Ibrahim membidas Abu Zahar yang bakal mengadakan sidang media jam 5 petang ini kerana dipercayai tujuan sidang media itu adalah untuk mempertahankan Azam.

“Tujuan sidang media ini adalah untuk menjawab segala tuduhan terhadap Tan Sri Azam Baki berkaitan saham-saham yang dimilikinya dan isu-isu berkaitan.

“Tujuannya sudah terang lagi bersuluh. Ianya untuk memberi penjelasan dan membersih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang kini dipersoalkan integritinya.

“Sudah tentu sidang media ini yang dihadiri bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM hari ini jawapannya sudah diketahui umum. Bersih, tidak ada salah laku dan semuanya fitnah untuk memburukkan beliau,” bidas Ibrahim. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here