Kit Siang persoal sikap ‘kunci mulut’ Ismail Sabri isu Azam Baki

0
1

VETERAN DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan sikap berdiam diri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung dakwaan salah laku membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, banyak pihak menuntut penjelasan Ismail Sabri mengenai isu itu selepas peletakan jawatan Edmund Terence Gomes daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM.

“Mustahil Ismail Sabri tidak menyedari seruan ini. Seorang Perdana Menteri yang komited kepada kerajaan yang mengutamakan akauntabiliti, ketelusan dan integriti.

“(Selain) tidak akan membiarkan dakwaan berkenaan konflik kepentingan pegawai utama dalam suruhanjaya antirasuah seperti ini untuk terus berlegaran walaupun untuk satu hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, beliau difahamkan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Tan Sri Borhan Dolah dan Azam akan mengadakan sidang media yang akan ‘dedah segalanya’ lewat hari ini.

“Persoalan pertama yang mesti dijawab oleh trio SPRM ini adalah mengapa mereka tidak mengadakan sidang media ‘dedah segalanya’ dua bulan lepas semasa dakwaan konflik kepentingan terhadap Azam mula-mula timbul pada 26 Oktober 2021.

“Saya mengharapkan jawapan daripada SPRM pada sidang media hari ini. Rakyat Malaysia dan dunia bimbang Malaysia akan kembali menjadi kleptokrasi,” katanya.

Jelas Kit Siang, sidang media ‘dedah segalanya’ SPRM adalah forum yang sesuai untuk suruhanjaya itu menjelaskan perkara berkenaan dan perkembangan lain berkaitan rasuah di Malaysia.

“Tetapi jika SPRM menghadapi masalah untuk menyemai nilai integriti dalam kalangan pegawai SPRM, bagaimanakah SPRM menjangkakan akan berjaya menerapkan nilai integriti dalam kalangan penduduk Malaysia?,” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here