Aiman Hanif .
MASIH ada menteri ingkar arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya anggota Kabinetnya yang berada di luar negara segera pulang dan membatalkan cuti bagi membantu rakyat berdepan kesulitan akibat banjir besar melanda negara.
Malaysiapost difahamkan terdapat sekurang-kurangnya dua menteri dan seorang timbalan menteri masih berada di luar negara untuk bercuti dan menunaikan ibadah umrah.
Menurut sumber yang enggan namanya didedahkan mendakwa, dia bertembung sendiri dengan dua menteri dan seorang timbalan menteri ketika di luar negara minggu lalu.
“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin saya terserempak ketika berhenti di Dubai dalam perjalanan ke Makkah.
“Manakala Menteri Perusahaan Perladangan dan Komiditi, Datuk Seri Zuraida Kamaruddin saya terserempak ketika berada di Makkah.
“Saya hairan apabila mereka ini berada di luar negara sedangkan Perdana Menteri mengarahkan anggota Kabinetnya membatalkan cuti dan pulang dari luar negara bagi membantu rakyat,” katanya kepada Malaysiapost.
Pada 24 Disember, Perdana Menteri mengarahkan anggota kabinet untuk membatalkan cuti mereka dan Menteri yang sedang berada di luar negara hendaklah pulang segera.
“Saya sudah arahkan semua menteri yang rancang percutian masing-masing untuk batalkan percutian mereka, mereka yang berada di luar negara yang boleh balik, balik segera.
“Supaya kita boleh bersama rakyat yang sedang kesusahan ini,” kata Ismail.
Ketika arahan itu dikeluarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu antara yang berada di luar negara.
Sementara itu sumber berkata, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin juga turut berada di luar negara. Malaysiapost sedang berusaha mendapatkan respon Menteri dan Timbalan Menteri yang didakwa berada di luar negara.- Malaysiapost

