JPNP tegaskan tiada aktiviti pembalakan di Hulu Telemong

0
1

JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menafikan terdapat aktiviti pembalakan di Hulu Telemong seperti didakwa oleh seorang aktivis alam sekitar melalui satu artikel dan video semalam.

Menurut JPNP, semakan lanjut dari nombor lesen daripada video yang dimuat naik di laman Facebook aktivis terbabit mendapati, kawasan pembalakan yang dimaksudkan adalah di Tanah Kerajaan Sg Gapoi.

“Kawasan ini telah dijalankan semakan dan telah dimasukkan dalam Kenyataan Akhbar JPNP pada 29 Disember 2021 yang menyatakan keadaan Sg. Gapoi adalah seperti biasa,” menurut JPNP dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Menurut agensi berkenaan petikan kenyataan itu mengesahkan kejadian kepala air di kedua-dua lokasi yang dinyatakan di atas tiada kena mengena sama sekali dengan aktiviti pembalakan di Tanah Kerajaan Sungai Gapoi sepertimana yang ditularkan.

Katanya, ia susulan jaraknya adalah sejauh 16 kilometer (km) daripada Jambatan Sri Telemong dan 23 km daripada jalan Bentong-Karak berhampiran Stesen Timbang JPJ Karak.

JPNP berpendapat, dakwaan yang dibuat oleh aktivis berkenaan telah cuba mengelirukan orang ramai dengan memberikan gambaran bahawa kerajaan telah memberikan maklumat yang tidak tepat kepada umum.

Malaysiapost semalam melaporkan bekas Ketua Pengarang Berita TV3, Khaidir Ahmad yang menjalankan misi mencari

punca sebenar bencana ‘tsunami balak’ melanda Kampung Sri Telemong, Bentong baru-baru ini, mendakwa berlaku aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.

Dalam satu artikel di laman Facebooknya, aktivis alam sekitar itu menjalankan misi menjejak ‘kepala air’ yang dilapor menjadi punca banjir lumpur bersama puing/sisa kayu seperti dimaklumkan pihak berkuasa.

Menurutnya, tinjauan yang dibuat menemui timbunan kayu balak dan ‘matau’ atau tempat simpanan transit kayu balak di kawasan berkenaan. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Jabatan Perhutanan Negeri Pahang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here