PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati orang ramai untuk menangguhkan sementara percutian terutama di lokasi berisiko, susulan cuaca buruk termasuk angin kencang dan hujan lebat sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, sekiranya mahu meneruskan percutian pilihlah lokasi berisiko rendah dan aktiviti riadah yang tidak berbahaya demi keselamatan diri dan keluarga.
“Janganlah menganggap saranan ini sebagai ‘spoilers’, sebaliknya suatu seruan untuk kita semua mengambil langkah berhati-hati.
“Saya mendoakan kesemua yang sedang terjejas akibat bencana itu berada dalam keadaan selamat dan sentiasa dalam perlindungan Yang Maha Esa.
“Semoga segala urusan berjalan dengan lancar dan persiapan untuk membantu mereka mengharungi waktu-waktu sukar ini adalah efisyen serta teratur,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengucapkan tahniah kepada Pemuda Barisan Nasional (BN) kerana mengambil langkah proaktif untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan mangsa banjir terpelihara.
Katanya, Pemuda BN mewujudkan tiga talian hotline iaitu Pemuda Umno (017-9988771), Pemuda MCA (011-5876 6951), Pemuda MIC ( 011-2108 5034) untuk mangsa banjir.
“Talian itu diwujudkan bagi memudahkan mangsa banjir membuat sebarang aduan kepada Pemuda BN berhubung bantuan yang dijanjikan oleh kerajaan kepada mereka.
“Bagi memastikan mereka tidak berdepan sebarang kesulitan atau kerenah birokrasi dalam menerima bantuan tersebut. Pemuda BN secara tidak langsung jadi mata dan telinga rakyat,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota jabatan dan agensi kerajaan, sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan yang gigih membantu mangsa banjir. – Malaysiapost

