KANAK-KANAK Rohingya yang tular dengan video berlagak samseng memarahi orang ramai ketika meminta sedekah baru-baru ini, dilaporkan telah ‘diangkut’ penguat kuasa hari ini.
Menerusi satu perkongsian dari akaun TikTok @fifi_story07 memaparkan beberapa keping gambar yang menyaksikan kanak-kanak terbabit ditahan pihak berkuasa.
Menurut pemilik akaun tersebut, kanak-kanak terlibat telah ‘diangkut’ penguat kuasa selain berharap dihantar ke negara asal mereka.
“Kan dah kena kutip, harap mereka semua ni dihantar ke negara asal masing-masing. Duduk dekat sini pun macam apa je.
“Dengar cite JKM WPKL turun operasi pengemias hari ni. Dapat pengemis traffic light depan Perkeso, KLCC dan Ampang Point,” tulisnya dalam ruangan komen.
Video berkenaan mendapat reaksi pelbagai daripada pengguna TikTok dengan rata-rata mereka mahu pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
“Bagus pihak berwajib ambil tindakan sebelum rakyat ambil tindakan sendiri nanti,” tulis sya_1998.
“Beri betis nak paha, beri paha nak pinggang, sampai bila tak sudah dia orang ni,” tulis Azamli85.
“Terbaik pihak bertanggungjawab. Teruskan khidmat cemerlang untuk ketenangan rakyat,” kata Kangnoh.
Dalam pada itu, orang ramai juga berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan isu lambakan pengemis kanak-kanak warga asing yang didakwa mengganggu ketenteraman orang awam.
Terdahulu, tular di media sosial gelagat kanak-kanak warga asing yang mempamerkan tingkah laku samseng ketika meminta sedekah.
Kanak-kanak itu dilaporkan berani mengetuk tingkap kereta yang berhenti di jalan raya untuk meminta wang, selain mengamuk sekiranya permintaannya tidak dilayan. – Malaysiapost

