UMNO menzahirkan rasa dukacita dengan koordinasi agensi-agensi berkaitan pengurusan banjir yang sepatutnya aktif digerakkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), namun seolah-olah tidak bermaya dan amat lemah dalam menghadapi musibah banjir pada kali ini.
Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berpendapat NADMA yang mempunyai garis panduan penyelarasan musibah banjir yang komprehensif sejak dibangunkan pada 2014, sepatutnya berfungsi dengan lebih baik.
“Dengan angka korban banjir seramai 48 orang yang begitu tinggi sejak pertengahan Disember lalu, berbanding banjir besar yang pernah melanda negara pada tahun 1971 (30 orang) dan 2014 (21 orang), tentunya memerlukan Kerajaan Keluarga Malaysia melaksanakan segera saranan titah Yang di-Pertuan Agong agar dilakukan post-mortem bencana banjir.
“Umno turut menyarankan agar sidang khas Dewan Rakyat mengenai bencana banjir diadakan bagi membolehkan wakil-wakil rakyat mengutarakan pandangan dan resah rakyat serta melontarkan cadangan-cadangan untuk membantu kerajaan mencari jalan terbaik menghadapi bencana yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Umno juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permintaan rakyat agar dibenarkan pengeluaran kali terakhir caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di secara one-off sebanyak RM10,000.
Beliau berkata, ini kerana rakyat benar-benar berhadapan dengan kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19 bukan sahaja yang ditimpa dengan musibah banjir.
“Ini juga sejajar dengan ketetapan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada 27 Ogos 2021,” katanya.
Sementara itu, menurutnya Umno menghargai segala bantuan untuk mangsa banjir sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri yang boleh mencecah sehingga RM61,000 untuk satu keluarga.
“Diharapkan maklumat mengenai kaedah perlaksanaan dan penyalurannya dapat segera dimaklumkan kepada rakyat dan dikurangkan sebarang karenah birokrasi agar prosesnya dipercepatkan,” katanya. – Malaysiapost

