Tular memandu berbahaya, pemandu Camry ditahan

0
1

POLIS menahan seorang lelaki yang juga pemandu Toyota Camry yang tular di media sosial selepas dirakam memandu secara melulu dan merbahaya di Kilometer 46 Jalan Klang-Teluk Intan, berhampiran Bandar Baru Kuala Selangor.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada jam 8.30 malam tadi, ketika hadir bagi membantu siasatan susulan video tular berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa, berkata dalam rakaman video berdurasi tiga minit lima saat bertarikh 1 Januari lalu itu memaparkan tindakan pemandu Camry berkenaan yang memandu secara melulu dan berbahaya.

Menurutnya, pemandu terbabit mengejar sebuah kenderaan lain dihadapannya dipercayai akibat perasaan tidak puas hati terhadap pemandu kereta dikejarnya.

“Rakaman turut menunjukkan pemandu membuat halangan di jalan raya bagi memberhentikan kenderaan yang dikejarnya.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kuala Selangor telah berjaya mengesan pemandu terbabit dan menahan pemandu serta kenderaan yang digunakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih bersabar dalam pemanduan dan menjadi pengguna jalan raya yang berhemah,” katanya.

Terdahulu seorang pengguna jalan raya menularkan video rakaman kejadian yang berlaku pada jam 5.33 petang 1 Januari lalu, mendakwa kereta dipandunya dikejar dan cuba dihalang sebuah Toyota Camry berwarna putih.

Selain berkongsi video dan maklumat nombor pendaftaran kenderaan yang dipandu secara berbahaya itu, pengguna berkenaan turut membuat laporan polis berhubung kejadian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here