PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob enggan melayan spekulasi mengenai rombakan Kabinet yang didakwa bakal menyaksikan tiga Menteri digugurkan dalam masa terdekat.
Ismail Sabri berkata, tumpuannya kini terarah kepada usaha menangani banjir dan pasca bencana itu, serta langkah membendung penularan Covid-19.
“Selagi saya tidak umumkan apa-apa (berhubung spekulasi rombakan Kabinet), tidak adalah.
“Belum tiba masanya lagi (rombakan Kabinet). Biarlah spekulasi itu menjadi spekulasi.
“Macam-macam nama timbul sekarang (berkaitan spekulasi), namun tumpuan saya kini hendak membantu rakyat yang terkesan dengan banjir dan Covid-19,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa, di Durian Tunggal, Melaka, hari ini.
Malah, Perdana Menteri menengaskan mesyuarat Kabinet esok akan menumpukan agenda menangani banjir dan usaha mengekang Covid-19 dan bukan isu berkaitan.
Semalam, tular berita mengenai spekulasi tiga Menteri didakwa bakal digugurkan daripada senarai jemaah Kabinet.
Tiga nama yang dikaitkan dengan spekulasi itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun; dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Ismail Sabri dijangka akan melantik Timbalan Perdana Menteri dalam rombakan Kabinet yang dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Menurut laporan itu yang memetik sumber berkata, pelantikan jawatan nombor dua pentadbiran negara itu berkemungkinan diadakan pada minggu hadapan.
Antara nama yang disebut sebagai bakal TPM ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali, serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – Malaysiapost

