BERSIH: Lantikan Mohd Redzuan sebagai Pengerusi Boustead tidak beretika

0
1

BERSIH mengkritik pelantikan Ahli Parlimen Alor Gajah Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sebagai Pengerusi Boustead Holdings Bhd.

Badan pemantau pilihan raya itu, berpendapat langkah itu tidak beretika kerana dilihat sebagai usaha kerajaan mendapatkan sokongan ahli parlimen.

“Hal ini membuka kemungkinan salah guna sistem dan mungkin akan merugikan kemajuan negara dan prestasi ekonomi agensi tersebut

“Lebih memprihatinkan adalah kemungkinan salah guna kewangan sebagaimana dalam kes 1MDB. Malah Boustead juga sedang mengalami kerugian sejak daripada 2018 lagi,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.

Mohd Redzuan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 dengan tiket Pakatan Harapan (PH) dan dilantik menjadi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ketika pemerintahan PH.

Beliau turut dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) ketika Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

Namun Mohd Redzuan tidak dilantik dalam kabinet ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Perdana Menteri.

Menurut bersih, undang-undang perlu digubal bagi menghalang ahli parlimen memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kerana peranan mereka antaranya adalah semak dan imbang organisasi itu yang diselia pihak eksekutif.

Bersih berpendapat, GLC perlu dikemudi golongan profesional memandangkan gabungan perniagaan dan politik hanya mengalakkan amalan kronisme, rasuah, penaungan dan salah guna kuasa.

“Sesetengah GLC sudah pun mempunyai peraturan sedemikian seperti Perkeso yang melarang pelantikan wakil rakyat sebagai pengerusi berdasarkan statut syarikat.

“Undang-undang juga perlu menyediakan kriteria pelantikan yang terikat dengan undang-undang serta menggariskan mekanisme pelantikan dan pelaporan demi ketelusan yang lebih baik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here