
EMPAT kes baharu hari ini menjadikan jumlah mangsa banjir dijangkiti Covid-19 kepada 565 jangkitan yang bagaimanapun tidak membabitkan penularan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini hanya 15 kes dilaporkan di PPS dan jumlah kluster Covid-19 di PPS juga kekal hanya satu kluster.
“Jumlah PPS yang masih beroperasi adalah 198 PPS [Johor (83), Pahang (48), Sabah (23), Melaka (22), Negeri Sembilan (18), Terengganu (2) dan Selangor (2) degan keseluruhan mangsa terjejas banjir adalah 14,093 orang.
“Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir adalah 465 kes (4 kes baharu hari ini); dan jumlah kluster di PPS: 1 kluster (tiada pertambahan kluster baharu hari ini),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, menurutnya sebanyak 135 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir hari ini menjadikan keseluruhan 2,212 penyakit berjangkit membabitkan mangsa bencana itu yang dilaporkan setakat ini.
“Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) dengan jangkitan semasa adalah 106 kes dan kumulatif 1,366 kes; penyakit kulit (semasa 28 kes, kumulatif 567 kes); manakala Acute Gastroenteritis (AGE), adalah lima kes semasa dan 257 kes kumulatif.
“Konjunktivitis tiada kes semasa dilaporkan dengan 16 kes kumulatif setakat ini; manakala penyakit mulut dan kaki (HFMD) pula sebanyak enam kes kumulatif dan tiada kes semasa dilaporkan,” katanya. – Malaysiapost
