Penularan tempatan Omicron dikesan di Kedah – KJ

0
1
https://www.facebook.com/photo?fbid=431494468347182&set=pcb.431496421680320

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan penularan tempatan wabak Covid-19 varian Omicron di Kedah yang berpunca daripada jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keempat-empat kes adalah kontak rapat kepada kes positif Covid-19 varian berkenaa yang balik dari mengerjakan umrah pada 12 Disember lalu.

Beliau berkata, jemaah umrah berkenaan disahkan positif Omicron pada 24 Disember dan pendedahan kepada kes ini berlaku pada 13 Disember dengan kesemua mereka mula bergejala dengan kategori 2 pada 17 Disember 2021.

“Ujian RT-PCR Covid-19 yang dijalankan selanjutnya pada 19 Disember adalah positif dengan CT Value di antara 20.80 hingga 21.49.

“Kesemua mereka telah diberi rawatan selama 14 hari di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, selain itu sebanyak 58 lagi kes positif Covid-19 telah disahkan varian Omicron melalui jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Daripada 58 kes ini, sebanyak 54 kes merupakan jangkitan import dari luar negara manakala empat kes merupakan penularan tempatan.

“Daripada 54 kes jangkitan import, 39 kes adalah daripada Arab Saudi; tujuh dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), empat dari United Kingdom, dua dari Nigeria dan masing-masing satu dari Kazakhstan dan Perancis,” katanya.

Khairy berkata, ujian jujukan genom penuh (WGS) ke atas sampel-sampel yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron masih dijalankan dan KKM akan memberi perkembangan terkini berhubungan pengesahan varian Omicron dari semasa ke semasa.

“Dengan keputusan terbaharu ini, jumlah kumulatif kes positif varian Omicron di Malaysia adalah sebanyak 122 membabitkan 117 kes jangkitan import, manakala lima kes lagi merupakan penularan tempatan.

“Daripada keseluruhan kes varian Omicron yang dilaporkan, sebanyak 71 kes (58.2%) merupakan jemaah umrah,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan oleh IMR ke atas 1,774 kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang tiba di Malaysia bagi tempoh 1 hingga 31 Disember mendapati 1,220 (68.8%) sampel menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron.

“Daripada 1,220 presumptive varian Omicron ini, 928 (76.1%) melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi,” katanya.

Beliau mengingatkan semua yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman atau rumah untuk terus mematuhi arahan dengan kekal dalam bilik berasingan, dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu yang lain.

“Kegagalan mematuhi arahan ini akan menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron kepada ahli keluarga dan dalam komuniti.

“KKM menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin Covid-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optimum serta mengelakkan jangkitan COVID-19 yang teruk serta komplikasinya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here