VETERAN Umno Tan Sri Mohd Yussof Latiff mencadangkan agar parti itu menganjurkan semula kongres khas dengan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dalam usaha berinteraksi dengan masyarakat bagi memperbaiki kelemahannya.
Menurutnya, kongres khas itu perlu diadakan bagi mendapat semula sokongan Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Sebagai veteran Umno, saya mencadangkan para pemimpinnya bersikap terbuka dengan menganjurkan kongres khas itu supaya dapat mendengar sendiri suara hati NGO yang mewakili orang Melayu dan menerima cadangan, pandangan, teguran dan kritikan daripada orang Melayu secara keseluruhannya.
“Jika Umno mahu sokongan padu orang Melayu, Umno harus bersikap terbuka dan pemimpinnya harus berjiwa besar untuk menerima teguran, kritikan dan pandangan dalam kongres itu demi kepentingan agama, bangsa dan negara serta kemakmuran, kesejahteraan, dan kebahagiaan seluruh rakyat Malaysia,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Beliau berkata, Umno kini memerlukan suntikan semangat perjuangan asal penubuhannya pada tahun 1946 untuk muncul kembali sebagai juara dalam perjuangannya untuk agama, bangsa dan negara.
“Sebagai orang lama dan antara seorang Melayu yang bersama-sama dengan Umno sejak tahun 1946 lagi, saya secara ikhlas dan terbuka menyatakan bahawa Umno mula tergelincir dari landasan perjuangan asalnya sejak tahun 1988.
“Manakala Umno sebagai parti keramat telah direla oleh pemimpin Umno sendiri ketika itu untuk diharamkan oleh mahkamah bagi menubuhkan Umno Baru yang berniat menjadikan Umno dimiliki oleh mereka sendiri.
“Imej Umno kemudiannya menjadi bertambah buruk apabila beberapa pemimpinnya pula terpalit dengan isu penyelewengan dan rasuah.
“Seterusnya Umno dianggap bukan lagi dikuasai oleh akar umbi tapi dikuasai oleh pemimpin-pemimpinnya dengan bermula mengamalkan politik wang,” katanya. – Malaysiapost

