PM jangan berdiam diri isu Azam Baki – Gobind

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu berhenti berdiam diri dan menangani kebimbangan yang dibangkitkan berhubung dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Perkara itu disuarakan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menerusi hantaran Facebook miliknya hari ini, selepas melihat tiada sebarang tindakan diambil terhadap Azam sehingga kini walaupun beberapa individu sudah membangkitkan isu tersebut termasuk melakukan protes.

“Sebelum ini Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa pada bulan lepas telah membangkitkan perkara ini dan selepas itu, Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Edmund Terence Gomez, meletakkan jawatan sebagai tanda protes kerana dikatakan tiada tindakan terhadap dakwaan itu,” katanya.

Justeru, beliau berkata, tindakan berdiam diri Perdana Menteri ini hanya menunjukkan kelemahan dari pihaknya termasuk SPRM dalam menangani masalah berkenaan.

“Adakah Perdana Menteri komited terhadap objektif tersebut dan jika ya, bagaimanakah sikap berdiam diri beliau terhadap dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya yang bertanggungjawab ke atas suruhanjaya itu menangani masalah ini?

“Perdana Menteri tidak boleh berdiam diri dalam perkara sepenting ini. SPRM berada di bawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri dan beliau mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas SPRM. Berdiam diri adalah tindakan yang menggambarkan kelemahan pihak beliau dalam menangani masalah ini,” katanya

Mengulas lanjut, beliau berkata, Perdana Menteri harus bertindak dan menunjukkan bahawa integriti dan akauntabiliti adalah juga aspek penting dalam SPRM.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, Seksyen 2 Akta SPRM 2009 menyatakan dengan jelas bahawa matlamat utama Akta tersebut adalah untuk menggalakkan integriti dan akauntabiliti pentadbiran sektor awam dan swasta dengan menubuhkan sebuah badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab iaitu Suruhanjaya.

Katanya, Seksyen 5 selepas itu memperuntukkan bahawa pelantikan Ketua Pesuruhjaya yang akan bertanggungjawab ke atas arahan, kawalan dan pengawasan semua perkara yang berkaitan dengan suruhanjaya itu.

“Akta SPRM 2009 adalah jelas. Ia bertujuan untuk menggalakkan integriti dan akauntabiliti pentadbiran sektor awam dan swasta,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here