17 saman RM6,000 padah dua beradik ubah suai motosikal

0
1

SUDAHLAH penat berkonvoi motosikal sejauh lebih 300 kilometer dari Teluk Intan ke Melaka, dua beradik lelaki turut dikenakan 17 saman berjumlah hampir RM6,000 atas pelbagai kesalahan mengubahsuai motosikal dalam satu serbuan di Melaka pagi tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Deputi Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, mereka masing-masing berusia 22 dan 24 tahun, antara 10 lelaki dikenakan 72 saman di sebuah inap desa Batu Berendam, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Menurutnya, serbuan dibuat hasil maklumat penduduk kawasan perumahan terbabit yang mengadu bunyi bising motosikal individu terbabit berusia antara 20 hingga 30 tahun yang tiba di Melaka semalam dan sepatutnya pulang ke Teluk Intan, pagi tadi.

“Ketika serbuan, mereka leka membersihkan motosikal masing-masing dan hasil siasatan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan terutama pengubahsuaian ekzos sehingga mengeluarkan bunyi bising yang mengganggu ketenteraman awam.

“Siasatan lanjut di dalam rumah, polis menjumpai dua bungkusan plastik dipercayai air rebusan daun ketum milik salah seorang mereka selain menahan dua beradik atas 17 kesalahan ubah suai motosikal keseluruhan berjumlah hampir RM6,000,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, antara 72 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan semua 10 individu lelaki terbabit ialah mengubahsuai ekzos dan struktur kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut piawaian dan tidak mempunyai cermin sisi.

Tambahnya, semua mereka disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here