HANYA satu kes baharu positif Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir sehingga jam 3 petang ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir adalah 461 kes.
Bagaimanapun, katanya tiada kes baharu positif Covid-19 dan pertambahan kluster baharu dilaporkan dalam kalangan mereka di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Justeru, bagi jumlah keseluruhan kes positif wabak itu di PPS adalah 15 kes setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, menurutnya, sebanyak 39 kes penyakit berjangkit dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir hari ini.
“Ia melibatkan jangkitan saluran pernafasan akut 33 kes, penyakit kulit (empat kes), dan acute gastroenteritis (dua kes),” katanya.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 194 PPS masih beroperasi iaitu Johor (70), Pahang (54), Melaka (23), Negeri Sembilan (22) dan Selangor (dua).
“Jumlah mangsa terjejas banjir pula seramai 13,577 orang,” katanya. – Malaysiapost

