Air pasang besar: Bukit Changgang, Kuala Langat berisiko banjir

0
1

PENDUDUK sekitar Kuala Langat termasuk Bukit Changgang diingatkan supaya berwaspada dan berjaga-jaga berikutan kebimbangan banjir disebabkan limpahan air di kawasan tersebut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata keadaan itu boleh terjadi sekiranya berlaku pertembungan antara fenomena air pasang besar dan hujan lebat.

“Jadi ini kawasan yang kita kenal pasti kemungkinan air akan naik. Contohnya, malam tadi di Kuala Langat kita dapati beberapa tempat iaitu di Sungai Nangka dan Kampung Kelanang berlakunya pemindahan 20 penduduk 20 melibatkan enam keluarga.

“Jadi kita memang bersiap sedia. Di Kuala Langat sendiri kita menempatkan anggota di Dewan Kelanang dan di Bukit Changgang pula kita tempatkan (anggota dari) Balai Bomba dan Penyelamat KLIA untuk kerja-kerja pemantauan, dan melakukan kerja pengamatan jika berlaku limpahan air,” katanya memetik Astro Awani.

Terdahulu, Norazam meninjau kerja-kerja penambatan tanah di lokasi ban pecah di Tanah Rancangan Baharu (RTB) Bukit Changgang.

Mengulas lanjut, beliau berkata operasi turut dijalankan bagi memantau fenomena air pasang besar yang dijadual berlaku sehingga Rabu ini.

Katanya, seramai lapan anggota ditempatkan untuk kerja-kerja pemantauan dan persediaan awal di Kampung Bukit Changgang, dengan dibantu oleh agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Dalam hal ini kita bersama ketua kampung telah memaklumkan supaya penduduk berjaga-jaga, dan bersedia dipindahkan pada bila-bila masa sahaja jika limpahan air berterusan berlaku memasuki kampung dan perumahan,” katanya.

Berdasarkan Info Banjir JPS, setakat jam 4 petang, air Sungai Langat di Bukit Changgang berada pada paras amaran iaitu 4.19 meter berbanding 3.8 meter (normal). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here