KERAJAAN memperuntukkan RM967.2 juta bagi inisiatif pemulihan kawasan bencana banjir di seluruh negara sepanjang Monsun Timur Laut 2021/2022.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia membabitkan 895 lokasi melibatkan kawasan banjir, banjir kilat, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap, dan jambatan runtuh atau rosak.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 802 lokasi selesai aktiviti pembersihan iaitu di Kedah (tiga daripada lapan lokasi) Perak (kesemua 17 lokasi), Selangor (134 daripada 162) dan Negeri Sembilan (45 daripada 62).
“Di Melaka (17 daripada 22), Johor (kesemua enam lokasi) Pahang (533 daripada 566), Terengganu (13 daripada 14) dan Kelantan (34 daripada 38).
“Pembaikan kekal dijangka dilaksanakan bermula Januari dan selesai pada Jun 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaporkan sehingga semalam, kerja-kerja pembersihan bagi Kuala Lumpur dan Melaka sudah mencapai 100 peratus.
“Di Selangor, kerja pembersihan mencapai 82 peratus, Negeri Sembilan (95 peratus) dan Pahang (77 peratus)
” Dianggarkan sebanyak 53,800 tan sisa banjir telah diurus menggunakan 2,730 jentera,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, dana RM50 juta telah diperuntukkan kepada 32 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi kerja-kerja Pembaikan infrastruktur, kemudahan awam, sosio ekonomi dan keselamatan. – Malaysiapost

