3 negeri selatan terus rekod peningkatan mangsa banjir

0
1

TIGA negeri membabitkan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan terus merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Di Johor, mangsa banjir meningkat kepada 1,523 mangsa membabitkan 416 keluarga hingga jam 9.45 malam ini, berbanding 658 orang (192 keluarga) pada tengah hari tadi, dengan Tangkak menjadi daerah terkini terjejas bencana itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan semua mangsa banjir berkenaan ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan dua daerah di Segamat dan Tangkak.

Katanya, terdapat pertambahan 10 PPS lagi membabitkan sembilan di Segamat dan satu di Tangkak. PPS baharu dibuka di Segamat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tah Kang, Balai Raya Kampung Awat, Balai Raya Taman Bukit Lentang, Balai Raya Kampung Jabi 1, Balai Raya Jalan Pemuda, Balai Raya Tungku Tiga, Balai Raya Kampung Sekijang, Sekolah Agama Mukim Jabi dan Sekolah Agama Gemereh.

“Di Tangkak pula, PPS yang dibuka ialah Sekolah Agama Bandar Tangkak yang menempatkan 17 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Vidyananthan turut memaklumkan, tiga sungai telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Segamat di Bandar Segamat dengan paras air direkodkan pada 9.64 meter (m).

“Selain itu, Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat (20.95m), dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur (4.32m), setakat jam 3.15 petang tadi,” katanya.


Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra memaklumkan jumlah mangsa di negeri itu kini berjumlah 507 orang membabitkan 134 keluarga setakat jam 4 petang tadi, berbanding 382 (100 keluarga) pada jam 12 tengah hari.

“Mangsa ditempatkan di PPS Balai Raya Gadek, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Jelatang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, Surau Kampung Jeram, SMK Lubok China, Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, SK Alor Gajah 1 dan SK Krubong.

Di Negeri Sembilan, data melalui aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa banjir di 11 PPS, meningkat kepada 1,437 (353 keluarga), setakat jam 4 petang tadi.

Di Terengganu, situasi banjir semakin baik petang tadi dengan penurunan jumlah mangsa kepada 165 (49 keluarga) berbanding 451 (128 keluarga) pada tengah hari.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here