KPT, UUM bantu rawatan pelajar Malaysia di Carribean

0
1

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi dan Universiti Utara Malaysia akan membantu memudahkan urusan perubatan, pelajar Nur Nabilah Mohd Azahar yang terbabit kemalangan air ketika menjalani latihan industri di Dive Division Curacao, Caribbean, Selasa lalu.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mangsa perlu melalui beberapa pembedahan susulan dalam masa terdekat dan urusannya akan dipermudahkan termasuk usaha membawa pulang ke Malaysia dan tuntutan insurans.

Jelasnya, sebagai langkah segera UUM akan membiayai pembayaran awal kos rawatan pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) UUM sebelum tuntutan insurans dibuat.

KPT juga sudah mengarahkan UUM menyelaras urusan membawa pulang pelajar di atas dengan Kedutaan Besar Malaysia di Caracas, Venezuela bergantung kepada tahap kesihatan dan kebenaran dari hospital di Curacoa.

“KPT sekali lagi ingin menzahirkan rasa sedih akan kemalangan menimpa Nur Nabilah dan memberi komitmen dalam memastikan segala bantuan serta kebajikan diperlukan dapat disegerakan dan berjalan dengan lancar,” katanya.

Nur Nabilah yang dilapor sedang menjalani latihan menyelam di Dive Division Curacao di Caribbean, putus kaki kanan selepas terkena kipas bot dalam kejadian itu.

Mangsa, Nur Nabilah, 25, kini dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di Hospital Curacao, Venezuela.

Menurut bapa mangsa, Mohd Azhar Zakaria, 58, kaki kanan anaknya itu terpaksa dipotong manakala lengan kanannya pula retak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here