Pelanggan terkesan banjir dikecualikan bayaran bil Januari – Air Selangor

0
1

PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan memberi pengecualian bayaran bil air bagi Januari 2022 kepada pelanggan akaun Domestik (Kod Tarif 10) di Selangor yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Pengecualian bayaran bil air itu sebahagian daripada Program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diumumkan kerajaan negeri.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri berkata pihaknya turut memanjangkan pengecualian bayaran bil air kepada pelanggan dengan akaun Domestik yang terkesan di Kuala Lumpur.

“Para pelanggan di kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir akan menerima pengecualian bayaran bil air bagi tempoh satu bulan secara automatik yang mana mereka tidak perlu mengisi atau menghantar sebarang borang kepada Air Selangor.

“Sepanjang tempoh pengecualian bayaran ini, bil air bulanan akan terus dikeluarkan oleh Air Selangor. Namun begitu, pelanggan yang layak menerima pengecualian bayaran bil air tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi tempoh dinyatakan.

“Air Selangor memahami kesulitan dialami pelanggan yang terkesan dengan banjir dan berharap bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Elina, pengguna boleh menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau merujuk semua saluran komunikasi rasmi menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter.

Katanya, pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here