Najamuddin Mohd Nor
“SAYA tak kisah harta benda lain musnah ditenggelam banjir, tapi jangan beberapa keping gambar kenangan bersama anak sulung, itulah saja kenangan yang saya ada,” demikian luah Jaimah Jamal.
Menurut wanita berusia 54 tahun itu, kenangan bersama anak kesayangan yang menemui ajal pada 2005 itu tiada galang ganti walau dengan wang ringgit dan itulah cara dia mengubati rindu dengan menatap gambarnya.
“Apabila rumah saya ditenggalami air sehingga paras leher orang dewasa, saya cuma berharap gambar-gambar kenangan bersama arwah anak sulung selamat dan tidak rosak.
“Itulah saja kenangan yang tinggal. Saya ni Allah uji dapat rezeki anak pertama setelah 11 tahun berkahwin. Tapi Allah pinjamkan anak lelaki itu hanya dua tahun. Dia meninggal dunia apabila lemas di kolam ikan belakang rumah,” katanya.
Jaimah yang juga guru ditemui Malaysiapost di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Lanchang, Pahang, semalam.
Menceritakan detik cemas banjir pada 19 Disember lalu, Jaimah berkata, pada mulanya dia bersama suami dan anak perempuannya menganggap banjir kali ini tidak akan menenggelamkan rumahnya.
“Sebelum ni air naik di bahagian laman sahaja kerana rumah saya ni agak tinggi. Kami ingat seperti biasa. Tapi banjir kali ini memang tak sangka rumah saya juga kena.
“Apabila air naik paras pinggang, suami cakap keadaan tidak selamat lagi, kena keluar segera cari tempat selamat. Jam 9 malam, kami segera meranduk air ke sebuah rumah jiran yang dalam pembinaan.
“Di situ tinggi tapi kenalah lalu banjir paras dada dalam jarak 50 meter,” katanya yang memaklumkan bekalan elektrik telah terputus menjelang maghrib.
Apa yang menakjubkan, Jaimah menjelaskan, keesokannya apabila hujan berhenti walaupun banjir belum surut, mereka tiga beranak telah meninjau keadaan rumah.
Jaimah menambah, dia tidak berhenti-henti berdoa kepada Allah agar gambar-gambar kenangan bersama arwah anak sulung tidak musnah.
“Sebenarnya dua perkara saja saya berdoa kepada Allah minta selamat iaitu Al Quran dan beberapa keping gambar anak. Saya terkejut dan memang menakjubkan apabila ia selamat.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur, beberapa keping gambar anak yang saya selitkan dalam Al Quran ditemui selamat. Saya letak di rak atas, rak itu tidak jatuh dan tidak berubah kedudukannya. Allah makbulkan doa hambanya. Dia tahu saya memang sangat rindu pada anak saya itu.
“Barang lain rosak, musnah. Tak ada apa yang boleh diselamatkan. Tak apa, kami bertiga reda dengan ujian ini. InsyaAllah kami tabah dan bangkit dari ujian ini,” katanya yang menjelaskan keretanya selamat daripada banjir kerana suaminya telah memindahkannya di kawasan tinggi pada petang sebelum kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, Jaimah mengucapkan terima kasih kepada pasukan sukarelawan diketuai Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kerana membantu membersihkan rumahnya daripada kekotoran lumpur banjir.
“Terima kasih tidak terhingga saya ucapakan pada Datuk Asyraf dan pasukan sukarelawan Pemuda dan Puteri Umno. Sini bekalan air bersih belum pulih, jadi memang tak dapat nak bersihkan rumah walaupun banjir dah surut seminggu lalu.
“Mujur mereka datang bawa air sekali dan cuci rumah sampai bersih. Pertolongan ini amat meringankan beban kami. Hanya Allah yang balas budi mereka,” katanya. – Malaysiapost

