Nelayan temui 4 mayat terapung

0
1

EMPAT mayat ditemui terapung oleh nelayan di perairan Pulau Buloh, Kepulauan Sembilan, Lumut semalam, dipercayai mangsa bot karam di Sekinchan, Selangor pada Sabtu lalu.

Penemuan itu disahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak yang menerima maklumat awal daripada komuniti maritim pada jam 9.05 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman, berkata Kapal Maritim (KM) Nyalau yang sedang melaksanakan rutin rondaan Op Tanjung ke lokasi dan menemui kesemua mayat tanpa identiti lebih kurang jam 2.08 petang.

“Hasil pemeriksaan dan pemerhatian di tempat kejadian, mayat tersebut terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki.

“Pihak Maritim Malaysia tidak menerima sebarang aduan berkenaan orang jatuh laut mahupun permohonan bantuan perubatan di laut berdasarkan penemuan mayat terbabit.

“Namun, Maritim Malaysia tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa kejadian ini terdapat unsur–unsur jenayah di laut, dan siasatan lanjut akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, keempat–empat mayat tersebut dibawa ke jeti Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kampung Acheh, dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk.

“Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang tidak menentu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, terdapat satu laporan polis dibuat seorang individu di Sekinchan, pada 2.49 petang, Isnin lalu berhubung sebuah bot tenggelam di perairan dekat daerah berkenaan.

Katanya, individu itu mendakwa dihubungi pekerjanya pada 3.30 petang, Sabtu yang memaklumkan ternampak sebuah bot tidak pasti pemiliknya dinaiki kira-kira 20 individu, telah tenggelam.

Menurutnya,kemungkinan besar mayat yang dijumpai ada berkaitan dengan laporan berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here