Menteri, Timbalan KPKT sumbang sebulan gaji

0
1

MENTERI dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyumbang keseluruhan gaji Januari mereka dalam Tabung Bencana Keluarga KPKT.

Perkara itu diumumkan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai tanda komitmen mereka untuk membantu warga KPKT yang terjejas.

Justeru, beliau dan timbalannya, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib akan menyerahkan keseluruhan gaji mereka pada bulan Januari 2022 dalam tabung berkenaan.

“Saya nak umumkan tabung yang dibuat ini, permulaan saya dan Timbalan Menteri… Kita akan sumbangkan sebulan gaji kami pada bulan 1 (Januari)… dipotong sepenuhnya untuk dimasukkan ke dalam tabung ini untuk diberi,” katanya.

Terdahulu Reezal Merican menyerahkan sumbangan Tabung Bencana Keluarga KPKT kepada mangsa bencana banjir yang terdiri daripada warga kementerian, jabatan dan agensi di bawah KPKT petang tadi.

Sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM1,000 bagi warga KPKT yang terjejas teruk dan RM500 bagi warga yang terjejas sebahagian akibat bencana banjir.

Selain itu, barangan keperluan asas seperti dapur memasak, periuk nasi, beras, tepung, minyak masak, air mineral dan sebagainya yang disumbangkan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Kelab Sukan dan Kebajikan KPKT (KESKEP).

Sehingga 30 Disember lalu, keseluruhan penerima bantuan banjir warga KPKT ini berjumlah 595 orang dengan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) paling ramai terjejas iaitu 313 orang di seluruh negara.

Jumlah ini dijangka bertambah berikutan kejadian banjir masih lagi berlaku dan KPKT akan terus membantu warga yang terkesan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here