Bantuan cecah RM61,000 bagi mangsa banjir rumah musnah total – PM

0
1

PERDANA Menteri, Datuk seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan mangsa banjir yang mengalami kemusnahan rumah sepenuhnya akan mendapat bantuan sehingga mencecah RM61,000.

Beliau berkata, selain itu, kerajaan juga akan menyediakan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan yang tidak serius.

“Walau bagaimanapun, bagi kerosakan serius, kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000.

“Manakala, bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit rumah dibina baru,” katanya pada perutusan tahun baru malam ini.

Menurutnya, memandangkan banyak sukarelawan serta NGO telah memberikan sumbangan peralatan kepada mangsa dan untuk mengelakkan pertindihan, kerajaan setuju memberikan wang tunai RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing.

Katanya, pemberian ini adalah khas untuk mereka yang mengalami kerosakan barangan akibat banjir.

“Keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa boleh mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah. Inilah usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan KWSP,” katanya.

Ismail Sabri berkata, dengan bantuan tersebut, mangsa banjir boleh terus mengekalkan simpanan masing-masing dan menikmati dividen tahunan KWSP sekitar lima peratus, sekali gus merancang masa depan lebih baik selepas bersara.

“Saya berharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat memberikan sinar baru kepada Keluarga Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here